Pondok Warga Emas; Tinjauan Pengalaman Penghuni Berdasarkan Ciri-Ciri Utama Komuniti Persaraan di Malaysia
Senior Citizens' Shelters; A Survey of Residents' Experiences Based on Key Characteristics of Retirement Communities in Malaysia
Keywords:
komuniti persaraan, keperluan asas, penuaan aktif, pondok warga emas, retirement community, basic needs, active aging, senior citizen cottageAbstract
Kajian ini bertujuan untuk meneliti pengalaman penghuni pondok warga emas (PWE) di Malaysia berdasarkan lima ciri utama komuniti persaraan, iaitu keperluan asas, agenda kelestarian, lokasi strategik, kebolehmampuan, dan aktiviti sosial untuk penuaan aktif. Walaupun PWE memberi banyak manfaat kepada penghuninya, namun ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan kelestarian PWE dan kesejahteraan penghuninya tidak terjamin. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan kajian lapangan dijalankan di tiga PWE iaitu Yayasan Al-Jenderami, Madrasah Ibnu Mas’ud, dan Pusat Pengajian Darul Widad. Data dikumpul melalui temu bual separa berstruktur bersama penghuni, analisis dokumen dan seterusnya data dianalisis secara tematik. Hasil kajian mendapati keperluan asas warga emas seperti penginapan dan makan minum adalah memuaskan, namun aspek fasiliti mesra usia masih memerlukan penambahbaikan. Dari sudut kelestarian, PWE berjaya menyediakan sokongan sosial dan rohani, tetapi model pembiayaan ekonomi jangka panjang masih perlu diperkasa, selain cabaran alam sekitar seperti banjir. Faktor lokasi strategik turut dikenal pasti sebagai daya tarikan, khususnya apabila pondok berhampiran dengan anak-anak penghuni dan menawarkan suasana tenang. Dari segi kebolehmampuan, yuran bulanan dianggap berpatutan berbanding kos yang tinggi berbanding bayaran di sesetengah komuniti persaraan komersial. Akhirnya, penghuni berpandangan aspek penuaan aktif sangat baik melalui pelbagai aktiviti keagamaan, pengajian kitab, dan pengajian Al-Quran, namun dicadangkan peluasan kepada aktiviti rekreasi dan sosial lain. Kesimpulannya, PWE di Malaysia bukan sekadar memenuhi aspek kediaman, tetapi berpotensi menjadi model komuniti persaraan berteraskan nilai Islam yang menekankan kesejahteraan fizikal, rohani, dan sosial warga emas.