Kajian Ulasan Naratif: Cabaran dan Isu Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Jahitan Asas Tangan bagi Mata Pelajaran Vokasional dari Perspektif Tenaga Pengajar
A Narrative Review: Challenges and Issues in Teaching and Learning Basic Hand Sewing for Vocational Subjects from the Perspective of Instructors
Keywords:
Ulasan naratif, SDG 4 quality education, jahitan asas tangan, Narrative review, basic hand sewingAbstract
Topik jahitan asas tangan merupakan satu topik asas yang perlu dikuasai sepenuhnya oleh pelajar yang mengambil jurusan Pembuatan Pakaian Wanita. Topik ini memerlukan pelajar menguasai kemahiran praktikal dan juga teori yang berkaitan menjadikan ianya satu topik yang kritikal. Kajian ini bertujuan mengenal pasti cabaran dan isu dalam pengajaran jahitan asas tangan bagi Mata Pelajaran Vokasional (MPV) tingkatan 4 dengan fokus kepada keperluan pembangunan e-modul sebagai bahan bantu mengajar yang berkesan. Menggunakan pendekatan kajian ulasan naratif dengan pencarian sistematik berpandukan diagram PRISMA, artikel-artikel yang relevan diterbitkan antara tahun 2020 hingga 2025 telah dianalisis. Kriteria inklusi merangkumi artikel jurnal dan prosiding persidangan dalam Bahasa Melayu atau Inggeris yang membincangkan pembangunan modul pembelajaran digital, pendidikan jahitan, fesyen atau pendidikan vokasional. Dapatan kajian menunjukkan pelbagai cabaran dihadapi dalam pengajaran jahitan asas tangan termasuk kekurangan pengetahuan asas pelajar, persepsi negatif terhadap subjek, ketidakkonsistenan pelaksanaan pengajaran, kekurangan bahan bantu mengajar yang berkualiti, serta cabaran dari aspek motivasi dan kesejahteraan psikologi tenaga pengajar. Kajian lepas membuktikan bahawa kaedah pembelajaran konvensional yang bersifat statik kurang mampu menunjukkan pergerakan dan teknik jahitan secara terperinci. E-modul yang menggabungkan elemen multimedia seperti video tutorial, animasi dan audio didapati dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran dan memupuk penglibatan pelajar dengan lebih berkesan. Justeru, pembangunan e-modul bagi topik Jahitan Asas Tangan dapat menyokong pengajaran dalam bidang rekaan dan jahitan pakaian dengan lebih berkesan, membantu guru menyampaikan isi pelajaran dengan lebih jelas melalui demonstrasi visual, serta memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara interaktif, fleksibel dan kendiri.
Basic hand sewing is a fundamental topic that must be fully mastered by students specializing in Women's Garment Making. As this topic requires the mastery of both practical skills and related theoretical knowledge, it is considered a critical area of study. This study aims to identify the challenges and issues associated with teaching basic hand sewing within the Form 4 Vocational Subject (MPV) curriculum, focusing on the need to develop e-modules as effective teaching aids. Employing a narrative review approach with a systematic search guided by the PRISMA diagram, the study analyzed relevant articles published between 2020 and 2025. Inclusion criteria covered journal articles and conference proceedings in Malay or English that discussed digital learning module development, sewing education, fashion, or vocational education. Findings reveal various challenges in teaching basic hand sewing, including students' lack of foundational knowledge, negative perceptions of the subject, inconsistent teaching implementation, a shortage of quality teaching aids, and issues regarding instructors' motivation and psychological well-being. Previous research demonstrates that static, conventional learning methods are often inadequate for illustrating sewing movements and techniques in detail. E-modules incorporating multimedia elements—such as video tutorials, animations, and audio—have been found to enhance the learning experience and foster more effective student engagement. Consequently, the development of an e-module for basic hand sewing can effectively support instruction in garment design and sewing; it assists teachers in delivering lesson content more clearly through visual demonstrations while offering students opportunities for interactive, flexible, and self-paced learning.










